Terima kasih semua!

Disebabkan aku punya idea yang agak chantek malam ni, so aku memilih untuk post sekarang biarpun dah pukul 11 malam. Inilah aku. Dah pukul 11 malam baru idea datang mencurah nak menaip alkisah dalam blog ni.

Aku kenal mereka dah lama dah... Ada yang dah 12 tahun, 8 tahun, 2 tahun, 1 tahun pun ada. Kalau yang 12 tahun tu, memanglah sudah lama. Sejak tadika lagi. Aku tak mampu putuskan ikatan ni. Sepanjang berkenalan, mungkin ada saja ayat langsi yang aku tak sengaja keluarkan. Jentik sana, cubit sini, pukul sana, tumbuk sini. Tapi aku gembira, kita mampu dewasa bersama-sama. Melihat perubahan yang berlaku kepada kita. Seperti lagu si budak tu, Aku yang dulu bukanlah yang sekarang.... Ada yang dah berubah, ada yang masih sama macam dulu tapi percayalah, tanpa mereka, mungkin aku tak begini. Tertawa riang di siang hari biarpun pada malamnya aku kesepian. Kerana adanya mereka, sebagai rakan, aku kenal erti persahabatan, aku kenal erti usaha. Aku juga mengenali erti cinta.

Berkongsi waktu, bertukar cerita, saling mengambil berat. Suatu perkara yang tidak dapat aku jumpa di mana-mana pun. Sampaikan dalam kelas pun boleh bantai bukak kedai tudung, kedai baju, dan kedai penjagaan muka. Facial la senang. Payah bebeno nak mengungkapkan. Sheseido? Betul ke? Aku belasah je. Bunyi ada lantaklah. Saat hari terakhir sebelum SPM menjelma hari tu, aku rasa hampir penuh 3 botol air mineral 1500 ml tu. Terkejut juga aku bila kebenaran terserlah. Tak sangka, aku ada haters. Tapi aku tak kisah. Bencilah macam mana sekalipun, geram walau macam mana sekalipun, tapi yang penting, mereka tak usir aku dari kelas tersebut. Tak sisihkan aku. Lagipun, aku sudah maafkan mereka semua. Aku sedar, kalau aku nak simpan dendam sekalipun, apa sajalah faedahnya pada aku? Buat apa nak putuskan ukhwah yang dah terjalin lama hanya kerana dendam yang tak sudah?

Aku tahu, mungkin aku sedikit garang, agak annoying orangnya, selalu marah tak kena tempat dan mungkin kadang-kala terkeluar sifat mengada aku... Tapi rasanya, mereka akan ingat aku yang suka marah-marah awal pagi kot...Sedih pulak aku bila terkenangkan saat tu. Seolah-olah aku tak mahu masa tu berlalu pergi. Sedihnya aku teringatkan air mata cikgu. Kata-katanya aku masih ingat lagi. "Saya tahu anak-anak saya bukan macam tu..." Dan ketika itulah air mata aku yang hampir reda menitis kembali. Tak mudah untuk melihat air mata seorang guru. Seolah-olah air matanya itu cukup mahal untuk dititiskan. Aku tak mahu masa itu berlalu pergi. Tapi seandainya masa itu tak berlalu, bila pula aku akan merasa pengalaman seperti ini di lain hari? Kenangan 11 tahun persekolahan itu cukup mahal jika dibandingkan dengan perkara yang ada di dunia ni.

Buat guru-guru pula, entah berapa ramai guru yang pernah menabur bakti kepada aku. Termasuklah nek sedara yang mengajar aku mengaji. Maafkan aku kerana pernah melukakan hati kalian. Kegagalan yang aku ciptakan. Terutamanya Matematik. Aku menyalahkan diri sendiri kerana tak pernah cuba untuk membuka pintu hati untuk menerima Matematik dalam diri. Kini aku akui, aku sesal atas segalanya. Betapa susahnya aku untuk mengaplikasikan asas itu ke dalam soalan. Kerana kesilapan itu juga, aku tidak pernah lulus untuk perkara yang berkaitan Matematik. Mungkin aku pernah lulus, tapi apa gunanya jika markah cumalah cukup-cukup makan? Aku sungguh malu berada di samping mereka yang bijak matematik. Aku mahu bertanya tapi aku rasa ada magnet yang menghalang aku. Seperti ada tembok yang memisahkan aku dan mereka.

Cikgu, aku juga hendak minta halal segala ilmu yang pernah kalian curahkan pada aku sejak dulu lagi. Kesilapan yang pernah aku lakukan ketika menuntut ilmu dari kalian, mudah-mudahan sudah kalian maafkan. Ilmu yang kalian pernah curahkan padaku, moga dihalalkan. Doakan aku agar terus istiqamah dalam menuntut ilmu, kejayaanku di dunia dan di akhirat serta kehidupanku. Aaaminn.

Buat mama, kaulah segalanya. Mungkin  mama tak sama macam orang lain. Mama sakit. Tapi mama tetap kuat demi aku. Satu-satunya anak. Mungkin juga mama tak sama macam dalam tv. Yang akan memujuk anak-anak kalau anak dalam kesusahan atau kesedihan. Tapi nasihat mama, cukup untuk membuat aku ingat sampai mati. Amanah mama suatu ketika dahulu, akan aku tunaikan bila tiba saatnya nanti. Kemarahan mama suatu ketika dahulu terhadap aku akan sentiasa aku rindu. Mama dah jarang marahkan aku. Mungkin kerana mama fikir aku dah dewasa untuk bezakan baik buruk. Mungkin dulu aku pernah kurang ajar dengan mama, terabaikan mama di saat mama sedang perlu, terlupa untuk lakukan segala yang mama suruh, maafkan aku ma...

Mama, aku tak akan lupa bagaimana mama sanggup bertengkar dengan doktor agar tidak dimasukkan ke hospital untuk teruskan rawatan PD. Alasan mama, mama beritahu doktor mama ada anak yang sedang ambik SPM. Doktor tu mungkin tak ada anak agaknya. Sampaikan dia tak tahu SPM tu ambik masa sebulan untuk tamat. Doktor tanya, minggu depan boleh? Mama tetap tak mau mengalah. Kata mama, Disember baru anak mama tamat SPM. Mungkin mulut mama beritahu aku bahawa mama serik untuk masuk hospital lagi. Tapi aku faham, dalam hati mama, mama tak mahu aku risau. Tak mahu aku hilang fokus. Saat 17 tahun yang dulu, mama sakit melahirkan aku. Aku tak akan balas kesakitan itu dengan luka yang baru. Aku mahu berjaya dalam bidang aku. Mungkin berbeza dengan bidang yang mama suka. Alhamdulillah, mama kini faham perkara yang aku suka dan perkara yang aku benci. Saat aku pernah meluahkan mahu menyertai pertandingan menulis cerpen, mama sentiasa mengikuti perkembangan cerpen tersebut. Saat aku hampir putus asa kerana kekeringan idea, aku melihat mama. Dan akhirnya aku dapat idea dan terus menulis pada malam itu juga. Berjaya juga aku menyelesaikan cerpen tersebut.

Mama, terima kasih kerana sudi bersabar dengan kerenah aku. Terima kasih kerana sudi mendengar ceritaku. Biarpun mama kadang-kala buat-buat tak dengar. Tapi aku gembira kerana mama sudi pinjamkan telinga. Terima kasih juga kerana kerisauan yang mama curahkan saat aku hampir leka. Ma, aku tak akan lupa saat aku demam panas suatu ketika dahulu. Mama duduk di sisi. Mengurut aku. Aku juga meracau saat itu. Mama hairan tapi tak tanya kenapa. Mama hanya mendengar saja. Kalaulah masa tu aku tersebut, "aku sayang mama", mungkin aku dapat lihat mama terharu. Aku tak tahu bila masanya aku pernah buat mama rasa bangga dan terharu. Mungkin ketika aku menerima hadiah dan berulang kali menerima sijil dan hadiah atas kejayaanku suatu ketika dahulu. Hanya mungkin aku yang tak menyedari.

Bapa, aku tak rapat denganmu. Kadang-kala aku membuat bapa sakit hati. Perangai aku yang kasar, kerenah aku yang selalu tak ambil kisah. Tapi bapa tetap mahu jaga aku. Sanggup bangun juga biarpun aku harus gerak berkali-kali tatkala aku hendak ke sekolah. Beri aku duit belanja biarpun sikit. Sudi masakkan nasi goreng, mi goreng, buatkan air ketika aku sudah terlewat dan kadang-kala gerak aku supaya bangun. Tak mahu lewat. Sudi memboncengkan aku atas motor. Sanggup berpanas lama semata-mata tunggu aku pulang. Sampai kadang-kala bapa sudah bosan menunggu dan akhirnya pulang juga. Tapi aku bangga, tatkala aku menghubungi untuk minta diambil, bapa datang. Cuma terlewat sikit. Kerana itulah, kadang-kala aku sanggup berpanas berjalan kaki pulang ke rumah. Malas nak ganggu bapa berehat.

Bapa, mungkin tatkala aku berbual dengan bapa hanyalah pada waktu aku mengadu tentang alat elektronik aku. Tapi, bapa faham jiwa aku. Sukakan games. Sukakan gajet. Sukakan perkara yang berkaitan dengan internet. Bapa sanggup spend duit untuk belikan laptop dan tablet. Tablet itu pernah buat aku mengamuk kerana pelan internet yang baru aku hendak langgan sudah menarik keseluruhan kredit yang aku masukkan. Bapa sanggup belikan lagi top up untuk pastikan aku sejuk hati. Bapa mungkin nampak macam tak peduli, tapi bapa tahu aku. Bapa nampak macam lurus, tapi aku tahu, bapa lebih banyak merasa ragam hidup. Biarpun aku jarang dengar bapa nasihat aku, tapi aku dapat rasa hati bapa yang tetap mahu mengharapkan yang terbaik untuk aku. Saat aku memegang tangan bapa untuk bersalam, aku seperti merasa dia berkata-kata, "tumpukan perhatian di kelas." Saat aku hendak mendaki tangga untuk menduduki SPM, aku cium tangannya dan dia berkata, "jawab baik-baik..." Ringkas tapi bermakna. Sungguh dalam sampaikan ketika aku menjawab soalan pun, aku berusaha mencari jawapan kerana kata-kata bapa itu. Betapa nasihat itu sukar untuk aku dengar di lain waktu.

Mama, bapa, kerana kalian aku di sini. Mungkin masih ada kekurangan ketika kalian mendidik aku. Aku akan mengisi sendiri kekurangan itu. Dan suatu masa nanti, aku akan ajak kalian untuk memenuhi kekosongan itu. Biar kita sama-sama diredhai. Aku sayang mama dan bapa. Inilah perkataan yang tak pernah mampu untuk aku luahkan.

Guruku, terima kasih atas ajaran yang diberikan itu. Tak mudah untuk aku jumpa perkara sebegitu di tempat lain. Hanya dari kalian saja. Terima kasih cikgu.

Sahabatku semuanya, moga kita semua tetap istiqamah dalam perjalanan mencari ilmu ini. Semoga kita tetap saling mengingati biarpun berjauhan. Dan aku sentiasa berharap kita bakal bertemu lagi. Maafkan aku dan terima kasih atas segalanya. Jumpa lagi....

-lap lantai-
-banyak air mata yang menitis-

-hati tak kering lagi-

Comments

Popular posts from this blog

Majlis Perwakilan Pelajar

Minah sekut

Rabak