Aku nak apa sebenarnya ni?

Sudah masuk bulan ketiga cuti aku lepas habis SPM ni. Memegang profesion penganggur terhormat membuatkan aku rasa sedikit kosong. Seperti kata rakan aku, ada masa tapi tiada kerja, ada kerja tapi tiada masa. Apabila berbual dengan rakan lama, membuatkan aku terkenang saat masih bergelar seorang pelajar. Imbasan kenangan selama 11 tahun.

Aku bermula dari seorang anak kecil yang pendiam dan hanya mengenali ibu bapanya. Kemudian masuk ke sebuah prasekolah dan mula mengenali beberapa orang yang mana persahabatan tersebut masih kekal setelah 12 tahun lamanya. Akhirnya kini, aku sudah bergelar belia. Yang diharapkan mampu menjadi pengganti kepada ibu bapa untuk membina masa depan yang lebih cerah di kemudian harinya.

Bercerita soal masa depan, sehingga kini aku masih kabur tentang apa sebenarnya yang aku mahukan dalam hidup aku. Ketika kecil, aku mahu menjadi guru. Cita-cita itu bertahan lama sehinggalah aku tertarik pada satu profesion ini, pegawai kastam. Namun setelah berkira sendirian, aku mula sedar, aku tertarik pada profesion ini hanya kerana uniform yang smart dan kemas itu sahaja.

Kemudian, aku berhasrat mahu menjadi novelis. Lebih-lebih lagi setelah aku melihat bahawa industri penulisan novel ini boleh dikembangkan menjadi sebuah drama, telefilem mahupun filem. Sekali lagi aku berfikir, mampukah aku untuk menghasilkan karya yang hebat seperti Fauziah Ashari, Ahadiat Akasyah mahupun Evelyn Rose? Aku tak yakin aku mampu. Lagipun skop penceritaan aku hanyalah berasaskan keadaan sekeliling dan menggunakan watak daripada orang-orang yang berkait rapat dengan aku. Mana mampu untuk aku bayangkan lokasi lain kerana aku sendiri tak mampu. Kajian mengenai sesuatu pula perlu ada untuk dijadikan sebagai segmen ilmu di lembaran akhir naskhah novel. Aku bukan pengkaji...

Berada di persekitaran hospital membuatkan aku tertarik untuk menjadi sebahagian daripada mereka. Bukan jururawat tetapi pembantu perubatan. MA. Medical Assisstant. Kata orang tuaku, lebih kurang macam doktor. Lagipun apabila aku melihat mereka yang terlibat dalam bidang ini kebanyakannya terdiri dari kaum Adam. Aku melahirkan hasratku untuk memasuki bidang ini kepada Mama dan dia bersetuju. Namun satu persoalan yang timbul dari Bapa ialah, "tak nak sambung ke pengajian yang lebih tinggi?" Sekali lagi aku berfikir. Setelah itu timbul satu cadangan dari Mama. Cuba lihat ke dalam bidang Radiologi pula. Ataupun bahasa ringkasnya, X-Ray. Kerjanya senang. Kalau ada kes, baru ada kerja. Kalau tak ada, goyang kaki saja. Bidang ni pun aku suka juga. Bukan sebab kerjanya sikit tetapi aku memang meminati struktur badan manusia. Bila fikir semula, aku dah lupa pasal nama-nama setiap bahagian tulang. Haih!

Akhirnya.. Aku yang terduduk sendirian sambil berfikir apa sebenarnya yang aku mahukan. Semakin lama aku seolah merasa aku kabur dalam pilihan aku sendiri. Result untuk usaha aku tahun lalu pun dah nak keluar tak lama lagi. Entah bagaimana rupanya nanti aku sendiri tak pasti.

Sekian untuk post kali ini. Bila ada idea aku update lagi. Okay? Aku nak cekidaut LINE aku dulu. Tata 

Comments

Popular posts from this blog

Minah sekut

Majlis Perwakilan Pelajar

Rabak