Allah Sedang Peduli

Sudah lama tak lawat blog ni. Kesibukan dan kekurangan idea sangat mempengaruhi kekerapan untuk bercerita. Baru sekarang aku punya masa untuk duduk dan menulis.

Kalau dulu, aku hanya punya ibu yang menghidap penyakit buah pinggang dan kurang berupaya untuk bergerak. Agak lemah dan perlu dibantu. Sekarang, ayah aku juga strok dan mempunyai masalah jantung. Baru saja discharge dari hospital pada Ahad lalu.

Bukan mengeluh, bukan mengesali apa yang telahpun terjadi. Hanya aku akui, keletihan aku semakin bertambah dan aku risau kalau-kalau aku tidak berlaku adil dan layananku agak kasar terhadap mereka. Tak pernah terlintas di fikiran untuk berlaku sedemikian.

Setiap kali aku membantu, ibu pasti akan mengasihani aku dan berkata sayu hingga menghadirkan titisan air mata di pipi. Kerana mereka, aku semakin kuat dan semakin berusaha untuk memenuhi keperluan kedua-duanya. Ayah telah aku larang untuk bergerak dengan aktif berikutan terdengar rungutannya bahawa tangan kirinya agak lemah. Bibir bawah juga senget ke kanan hingga menyukarkan beliau untuk makan. Katanya, rasa macam budak-budak bila makan comot macam ni. Aku hanya diam. Aku dengar saja sambil meneruskan kerja harian.

Tidak lama lagi keputusan SPM akan keluar. Bagaimana nanti sekiranya aku berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi? Sudah pastinya mereka berdua terpaksa aku tinggalkan... Bagaimana nanti? Siapa hendak uruskan mereka? Dua-dua sudah punya penyakit... Agak serius.. Sedih aku setiap kali mengenangkan hakikat itu.

Aku akui, dugaan ini begitu hebat. Namun inilah perkara yang paling indah bagi Muslim. Saat diuji, Allah sedang peduli terhadap kita. Syukur aku, biarpun aku ini seorang pendosa, Dia masih dekat dan tidak meninggalkan aku sendiri. Saat rakan semakin menjauhi, didatangkannya orang-orang yang sudi membantu. Saudara mara jauh dan dekat. Alhamdulillah. Segan juga aku bila setiap kali mahu ke mana-mana, orang lain harus dipanggil untuk datang. Aku tidak memiliki lesen memandu. Aku terfikir, seharusnya dulu aku harus belajar memandu terlebih dahulu, sebelum bersetuju untuk menjalani kursus komputer. Tapi sudah terlewat untuk semua itu. Biarlah, semua ini rahsia Allah. Hanya Dia yang tahu. Maka aku sebagai hamba hanya mampu berusaha namun segalanya sudah ditentukan dan direncanakan dengan indah oleh dia...

Comments

Popular posts from this blog

Minah sekut

Majlis Perwakilan Pelajar

Rabak