Kau pergi jua, mama

Alhamdulillah. Selesai sudah pengebumian mak. Segala apa yang dimahukan oleh mak, alhamdulillah tercapai. Perit rasa hati. Tahun ini merupakan aidilfitrinya yang terakhir. Memang sudah aturan Tuhan. Mungkin permintaan mak didengar. Memang sudah kata-katanya, "jika lepas raya ni aku dipanggil kembali, aku terima dengan senang hati. Jika Allah nak ambil nyawa aku semasa aku masih di kampung halamanku, alhamdulillah." Sebelum ini juga, katanya dia tidak mahu hidup lebih lama seperti pesakit buah pinggang yang lain yang bergantung harap selama berpuluh tahun. Cukuplah 2 tahun. Benar katanya, sungguh hanya 2 tahun dia sempat menjalani dialisis. Kipas angin yang dibeli menggunakan duitnya sendiri, telah dipesankan kepada kami, untuk tinggalkan saja kipas tersebut di hemodialisis unit bagi kegunaan pesakit lain. Namanya masih terpatri di kipas tersebut. Moga pahala disalurkan untuknya setiap kali kipas tersebut digunakan.

23 Mei 1971-22 Ogos 2014, perginya Katinah binti Adol untuk selamanya....
Semuanya bermula sejak minggu yang lalu. 11 Ogos 2014, hari Isnin.  Bapa sedari tekanan darah mak sangat rendah lalu mengambil keputusan untuk membawanya ke unit kecemasan. Ketika itu, keadaannya sangat lemah dan berada dalam keadaan tidak sedar. Pukul 4 petang, setelah hampir 4 jam di unit kecemasan zon kuning, mak dimasukkan ke wad.

Hari kedua(Selasa). Keadaan masih lemah. Rawatan dialisis dijalani. Setelah 3 jam, mak tidak mampu meneruskan rawatan seperti biasa. Keadaan kaki yang sangat sakit dan keadaan yang masih belum stabil sepenunhnya menyebabkan rawatan yang sepepatutnya dijalani selama 4 jam disingkatkan kepada 3 jam sahaja.

Hari ketiga hingga hari ke kesepuluh. Keadaan agak baik. Nampak positif. Tekanan darah stabil namun masih ada masalah peha. Keadaan peha kanannya kembang, keras dan lebam. Tidak diketahui apa puncanya. Doktor pakar masih tidak membenarkan mak pulang. Namun, dalam tempoh tersebut mak demam sekali lagi dan tekanan darah mula turun naik. Tetapi keadaan nampak baik.

Hari kesebelas. Lemah. Nampak sangat tidak bermaya. Tidak berselera untuk makan. Hanya minum air kosong. Hari tersebut, dia sangat memerlukan aku tetapi sayangnya aku masih lagi di sekolah. Maka pulang saja dari sekolah, masih dengan uniform, aku bergegas ke hospital setelah mendapat perkhabaran mak dalam keadaan tidak sedar. Malam tersebut juga, aku mengambil keputusan untuk tidak hadir pada Jumaat (22/8/2014) biarpun pada hari tersebut aku perlu menduduki peperiksaan MUET(Listening).

Hari terakhir(Jumaat 22/8/2014).
Umum mengetahui jenazah dan abu mayat MH17 dibawa pulang ke pangkuan keluarga. Pada hari tersebut juga, aku kehilangan ratu hati tercinta, mak. Sekitar pukul 7 atau 8 pagi, mak meminta aku untuk membeli Teh Panas, ais dan bubur ayam di kantin hospital. Aku pergi dengan pantas. Namun silapnya aku, aku tak beli ais tapi aku beli milo ais. Maka pulanglah aku ke wad. Terus mak minta ais. Aku suapkanlah. Bila aku kata ais habis, mak minta milonya saja. Sedap katanya. Lepas tu mintak suapkan bubur ayam. Aku suapkan. Sekitar 10 sudu lepas tak nak dah. Makanan lain memang tak nak terima dah. Bubur tu, bila aku tanya sedap ke tak, dia geleng. Aku senyum saja. Cukuplah untuk alas perut. Lepas selesai makan bubur, mak nampak lemah. Tapi kami fikir mungkin dia nak rehat. Aku dan bapa pun buatla kerja masing-masing. Tak lama kemudian, mak panggil kami dan cakap, jangan jauh-jauh. Duduk sini saja. Kami sengih. Mak pulak tidur balik. Kami dipanggil semula. Waktu tu jam 11 pagi.  Mak minta naikkan sikit badannya ke atas. Tapi bila kami uruskan dia, tiba-tiba dia nampak tak bermaya. Terus bapa ambil tekanan darah. Tekanan darah tak dapat dibaca. Error. Nadinya hilang. Cepat-cepat kami panggil nurse dan doktor. Doktor seramai 6 orang dan bersama kepakaran masing-masing, bergegas. Keadaan mak waktu tu memang nampak macam dah pergi. Doktor berusaha tekan dadanya. Ujar seorang doktor pakar, jantung mak nampak macam ada berfungsi tapi masih lemah. Lepas 2 jam, nampak keadaan mak okey. Tapi tak seperti yang sepatutnya. Oksigen sana sini. Nampak macam nyawa bergantung terhadap mesin. Dikelilingi mesin je. Tapi waktu tu, aku berbisik kepada Allah, "jika benar ini perjalanan terakhir buat mak, aku izinkan segalanya jika benar kau mahu ambil dia kembali. Aku tak sanggup melihat dia menanggung beban sakitnya"

Benar. Jam 3.20 petang. Mak telah diambil pergi. Sebelum tu, aku sempat ke tandas. Sakit perut nak buang air besar. So cepat-cepatla ke tandas. Tengah enak buang sisa, bapa panggil tiba-tiba. Cepat sikit katanya. Tekanan darah mak turun. 2 kali aku dipanggil. Kali kedua panggilan bapa, aku dah selesai buang sisa. Aku keluar je dari tandas, nampak bapa sedang berbual dengan doktor. Doktor tu tepuk-tepuk bahu bapa. Terus bapa cakap, doktor kata mak dah tak lama. Bila aku tengok mak, nampak dia macam dah nak pergi. Aku rasa tak sanggup nak ajar dia ucap selawat. Macam tak dengar je suara aku ajar dia. Tapi at lis ada. Turun dari wad, aku nampak jenazah mak tidak ditemani. Terus aku cakap, biar aku yang ikut temankan jenazah mak. Sebak jiwa temankan mak masa tu. Sedih sangat-sangat. Tiba di rumah, dah ada saudara mara tunggu. Tengok mak dibersihkan, aku kaku. Malam tu juga, aku tidur di samping mak. Aku penat sangat. Sakit kepala. Rasa nak muntah. So aku tak mampu nak ke mana-mana. Terus aku baring di sisi mak. Bangun pagi pun aku masih lagi berat kepala. Tapi sedih tu dah mula surut. Lepas mandi, siap-siap nak tunggu jenazah untuk dimandikan. Duduk dulu di samping mak, bacakan Al Fatihah dan Yasin. Kabur mata masa bacakan Yasin. Bila aku aturkan kain yang menutupi wajah mak, aku tengok wajahnya. Aku terus menangis tak henti. Masa mak dimandikan, aku tak mampu nak bantu mereka. Aku kaku di tepi. Tengok je wajah mak sewaktu dimandikan. Tenang wajahnya. Seolah tersenyum. Tidurnya sungguh lena. Mak nampak cantik selepas dikafankan. Wajahnya aku tatap untuk kali terakhir. Aku menangis semahu mahunya. Jenuh aku tahan diri supaya jangan nangis. Air mata aku degil. Sampai mak dikuburkan pun, aku masih menangis. Saat mak ditimbus dalam liang lahad, aku masih lagi menangis. Rasa kaki tak larat nak berdiri lagi. Sampai masa tengah menyiram pusara mak pun aku masih lagi sedih. Aku tabur bunga untuk pusara mak. Cantik pusara mak. Penuh dengan bunga. Esok aku nak datang lagi. Nak tengok mak lagi.

Rindu untuk mak tak akan habis selagi nadi aku masih berdenyut. Segala nasihat mak akan sentiasa aku ingat. Kasih sayangnya akan sentiasa mekar buatku dan bapa. Sayang mak sampai mati. Moga mak tenang kat sana.

Comments

Popular posts from this blog

Majlis Perwakilan Pelajar

Minah sekut

I Am Popularian