Lupakan saja hasrat itu!

5 hari setelah pemergian Mama. Rumah ini sangat sunyi. Tak seperti dulu. Mama sudah tiada. Jika kebiasaannya, kedengaran suara mama sedang membebel. Komplen itu ini. Aku rindu mendengar suaranya. Mama pergi tanpa sempat meninggalkan pesan terakhirnya buat aku. Juga tidak sempat menyatakan persetujuannya untuk aku melanjutkan pelajaran ke politeknik.

Dalam POST YANG LALU, ketika itu aku benar-benar mahu ke politeknik. Tapi sayangnya kini, hasrat hati yang menggebu-gebu itu terpaksa aku lupakan buat selamanya. Bermula dari selepas pengebumian mama, aku telah menerima tentangan daripada bapa saudara dan nenek saudara. Datuk saudara yang aku panggil sebagai Nek Uda, menyatakan bahawa graduan Diploma Sains Kesetiausahaan itu hanya menerima gaji setaraf kerani. Kenyataan itu turut disokong oleh seorang lagi datuk saudara, Nek Usu. Datang pula abang kepada arwah mama, berprofesion sebagai guru besar, menentang hebat hasrat tersebut. Mati-mati melarang aku ke politeknik. Mahu aku meneruskan sahaja Tingkatan 6 yang berbaki setahun. Kemudian, entah dari ceruk mana, seorang wanita yang tak aku kenali juga menentang hasrat tersebut. Dalam hati aku berbisik, "mengapa mereka tidak pernah memahami bahawa minatku terhadap Tingkatan 6 ini benar-benar sudah hilang?" Pada waktu itu, hati aku masih lagi sekeras batu dan masih mahu ke politeknik tak kira walau apa pun kata mereka. Sebenarnya waktu itu, aku tahu bapa pun sudah terpengaruh dan berura-ura mahu melarang. Cuma bapa hanya diam dan tidak bersuara.

Kedatangan mak long dari Brunei telah menyebabkan aku terpaksa membuat keputusan ini. Permintaannya untuk aku meneruskan Tingkatan 6 ini dan hasratnya mahu aku ke universiti mengubah haluan hati aku. Bukan itu sahaja, jika aku berjaya menempatkan diri di mana-mana universiti, dia sudah berjanji mahu memberi RB100. Bukan habuan yang aku pandang. Tetapi rayuannya supaya aku kekal meneruskan Tingkatan 6 sehingga tamat. Bukan tiada yang menyokong hasratku. Ada tetapi hanya 4 orang saja berbanding 6 orang yang menentang. Kesemua mereka yang menyokong terdiri daripada dua orang mak ngah dan 2 orang sepupu perempuan. Hanya itu sahaja. Kata mereka, "sambung pengajian ke politeknik. Diploma itu pun sudah cukup baik sebagai sijil untuk kau mendapatkan kerja. Kami tahu perasaan kau bagaimana susahnya untuk survive ke STPM." Hanya mereka yang memahami.

Sudahlah. Tawaran tersebut biarlah aku biarkan berlalu pergi. Apa yang ada kini hanyalah mahu menjalankan permintaan mereka. Sekarang tiada apa yang perlu aku risaukan. Mama pun sudah tiada. Maka masa yang ada kini akan aku peruntukkan untuk fokus terhadap pelajaran saja.  Sakit perit biar aku tanggung sendiri. Namun jika suatu masa nanti aku gagal dan tidak mampu menempatkan diri di mana-mana universiti, aku harap bukan aku seorang saja yang menyesali keputusan tersebut. Insan-insan yang memaksa aku melakukan keputusan tersebut juga perlu terpalit sama merasai sakit yang aku rasa. Biar mereka tahu. Biar mereka faham. Jangan pernah memaksa orang lain melakukan keputusan yang mereka sendiri tidak relakan.

Comments

Popular posts from this blog

Minah sekut

Majlis Perwakilan Pelajar

Rabak