Seminggu kepergianmu

Mama, semalam genap sudah seminggu mama meninggalkan kami. Mama tak usah risau, kami baik sahaja. cuma semalam saya agak rindu dan terkenang saat mama dibersihkan oleh jiran-jiran kita. Saya terkenang wajah mama. Yang tenang. Hari ini, hari Sabtu. Hari pengebumian mama. Saya juga terkenang wajah mama ketika mama dimandikan. Maaf, ketika itu saya tidak mampu membantu memandikan mama. Saya tak mahu air mata saya menitis di jasad mama. Mama pernah kata, jangan sampai air mata tertitis atas jasad orang yang sudah meninggal dunia. Nanti roh dia terseksa. Saya hanya mampu berdiri di samping kepala mama dan melihat mama dimandikan. Saat mama dikafankan, saya melihat wajah mama begitu tenang. Mama, mama tahukan mama cantik pakai tudung. Itulah kali terakhir saya melihat mama bertudung. Seandainya ketika dahulu mama mahu bertudung labuh, bukankah mama nampak lebih cantik? Walau apapun, saya berjaya mengajak mama pakai tudung setelah saya mula masuk ke kelas aliran agama. Terima kasih atas pengorbanan mama itu.

Mama, seminggu selepas ketiadaan mama, tahukah mama rumah ni sunyi? Kebiasaanya, mama selalu panggil saya. Suruh saya masak, cuci baju, jemur kain, tolong mama mandi. Kadang-kala saya buat dengan rela hati. Kadang-kala saya buat dengan separuh hati. Saya begitu menyesali saat-saat saya tidak ikhlas membantu mama. Mama, mama sudah tidak berdaya untuk bergerak sana-sini macam orang lain. Yang mampu membuat mama berdiri adalah semangat dalam diri mama. Semangat mama yang kental, tak seperti orang biasa akan saya kenang sampai bila-bila. Saya mahu mewarisi semangat mama. Yang sentiasa mahu membahagiakan orang-orang tersayang. Yang sentiasa mahu menyenangkan orang-orang yang tersayang. Tak mudah untuk jumpa orang seperti mama. Mungkin semua ibu di dunia ni memiliki semangat yang jitu, macam mama.

Mama yang tersayang, saya tak sangka, kucupan saya di tangan dan dahi mama sewaktu Rabu 2 minggu yang lalu merupakan kucupan terakhir saya buat mama. Saat mama masih bernafas dan mampu meminta bantuan saya untuk mama. Rindunya saya pada mama. Tapi tahukah mama, bapa yang saya sangka kuat dan kental, sentiasa menangisi kepergian mama dalam setiap akhir solatnya. Walhal seingat saya, sewaktu mama menutup mata buat selama-lamanya, bapa menenangkan saya yang ketika itu menangis semahu-mahunya. Tahukah mama, bapa juga membantu mama masuk ke liang lahad. Dan selepas itu, saat mama dikambus dengan tanah, bapa menangis juga.

Mama, saya tak suka dengan keadaan ini. Kehadiran kakak kepada bapa menyeksa saya. Bukannya mama tak pernah ajar saya bagaimana untuk mengurus diri. Dia ganggu semua kerja saya. Semua benda dia nak masuk campur. Mentang-mentanglah dia tidak pernah bersuami. Segala-gala yang sepatutnya saya yang uruskan, termasuk pakaian, makan, minum semua dia nak uruskan. Lepas tu dia salahkan saya itu dan ini. Dia buat rumah ni macam rumah dia. Ganggu kehidupan kami berdua. Dia fikir dia siapa di rumah ni? Tahulah dia banyak jasa kepada keluarga kita, tapi janganlah sampai kehidupan kami terkongkong macam ni. Masih ada sebulan lagi untuk dia menjadikan rumah ni tempat penginapan dia. Saya penat, ma.

Mama, mama sudah tiada. Hidup perlu diteruskan seperti biasa. Walaupun tanpa kehadiran mama di sisi.


Comments

Popular posts from this blog

Majlis Perwakilan Pelajar

Minah sekut

Rabak