Separuh kekosongan dalam jiwaku

Setiap manusia pasti merasai mati. Bila-bila masa saja. Tanpa mengira waktu dan ketika. Kun faya kun. Jadilah! Maka jadilah ia.

Setiap hari, saat pulang dari sekolah, jiwa terasa pedih. Mengenang dia yang telah tiada. Terasa ada kosongnya ruang dalam jiwa. Ruang yang kosong dan tak akan terganti oleh apa-apapun. Sedih mencengkam hati. Saat mata terbuka, dia yang menjadi ingatanku. Saat mata mahu melabuhkan penat, dia juga yang terbayang di ingatanku. Tak mudah untuk harungi hidup tanpa dia.

Duhai permataku yang telah pergi, benar kami dalam keadaan yang baik-baik sahaja. Namun seperti kataku tadi, ada suatu ruang kosong yang hanya lengkap jika dirimu ada disisi. Walau pelbagai keceriaan datang bertandang, tetap nampak tak sempurna kerana dirimu tiada di sini.

Wahai ratu hatiku yang tercinta, harap tika sebelum kepergianmu itu, dirimu sempat memaafkan aku. Maaf kerana tak pernah mengucapkan rasa cinta dan sayangku padamu. Maaf kerana sering terlupa untuk pohon keampunanmu. Maaf kerana sering melukakan hatimu kerana tingkah laku diriku. Maaf kerana kekasaran bahasaku terhadapmu. Maaf kerana sering membuatmu susah. Maaf kerana aku sering terlupa akan kata-katamu. Maaf kerana aku tak pernah membuatmu bangga terhadapku. Serta sejuta maaf yang tak mampu terungkapkan.

Mama, permaisuri hidupku, terima kasih kerana sudi melahirkan aku. Sanggup bersengkang mata, menjaga aku, melayan setiap karenahku saat matamu masih terbuka. Terima kasih kerana mengajarku erti kehidupan yang hakiki. Terima kasih kerana berusaha mendidik aku menjadi manusia. Ada hikmahnya aku ini tertakdirkan untuk tidak mempunyai saudara sedarah sedaging. Untuk mengajar aku erti kuat. Untuk memastikan aku sentiasa ingat akan pesan-pesanmu. Jodoh pertemuan kita hanya kekal untuk 18 tahun sahaja.

Banyak perkara yang tak sempat aku lakukan buatmu. Aku pernah berazam untuk menghadiahkanmu pelbagai bentuk penghargaan. Seperti yang pernah kau ucapkan dahulu. Segalanya sudah terlalu lewat. Usah risau, walau kini kau tiada di sisi, aku mahu menjadi wanita kuat dan tabah. Sepertimu. Saat di mana keluarga kita dalam kesusahan, saudara mara menjauhkan diri, kau bangkit membuktikan kita mampu hidup tanpa bantuan yang lain. Tak pernah putus asa, cekal, berhati waja, sentiasa mahukan perubahan positif. Itulah mama. Sentiasa mengusahakan agar aku mampu hidup sama seperti orang lain. Berusaha memenuhi setiap permintaanku. Biarpun sedikit terlewat untuk kau mengotakan janjimu.

Seutas rantai leher perak terakhir darimu. Maaf tak sempat memakainya saat mama pergi. Sejak rantai tersebut putus, aku terlupa untuk membaikinya. Ketika kita hendak pulang beraya di kampung, barulah mama mengingatkan aku. Namun ketika itu juga kita terlupa dek kesibukan melayan kedatangan tetamu. Aku tahu, aku faham. Mama mahu aku nampak cantik saat tetamu datang bertandang. Setiap kali aku merenung rantai tersebut, aku marah pada diri sendiri. Kenapa aku tak mampu menjaga rantai tu? Kerana kecuaian diri sendiri, rantai tu terputus. Tapi mama usah risau. Aku nak hantar rantai tu untuk dibaiki. Lepas tu, aku akan pakai sampai bila-bila. Aku nak jaga baik-baik. Barangan kemas milik mama. Biarpun tahu tangan aku tak akan muat kalau pakai gelang mama, aku mahu jaga baik-baik. Teringat aku dulu mama jual barang kemas semata-mata nak belikan aku barangan persekolahan.

Mama, aku selamat dalam jagaan bapa. Bapa sentiasa mahu mendapatkan segala apa yang terlintas di bibirku. Kerana itu amanah mama. Untuk sentiasa memenuhi apa sahaja kemahuanku. Kerana hanya aku yang mampu meneruskan keluarga kita. Mama, seandainya mama dapat melihat kami dari jauh, pasti mama tersenyum. Kerana bapa sentiasa melawat mama. Setiap pagi. Sebelum ke tempat kerja. Senaskhah yasin yang nampak kesan basah kerana air matanya. Aku tahu semua itu. 21 tahun usia perkenalan. 19 tahun usia perkahwinan. Mana mungkin ingatannya akan mudah terluput.  Jika mama diizinkan Allah untuk melihat keluarga di bulan Ramadan nanti, jangan lupa jenguk kami. Seperti mana mama sering dijenguk oleh ahli keluarga kita yang telah mendahului mama. Tersenyumlah. Kerana mama sudah mendapat apa yang mama mahukan. Derita penyakit sudah tiada. Masalah yang membelenggu telah melepaskan mama dari sangkar deritanya.

Warkah cinta buatmu. Sekadar mahu mengenang kembali saat bersamamu. Ketika ini jugalah, aku menangis sendirian tanpa suara. Mahu merasai hangatnya pelukanmu. Ruang ini tak akan mampu diisi oleh apa pun. Kerana dulunya ada dirimu yang mengisi ruang tersebut.

Comments

Popular posts from this blog

Majlis Perwakilan Pelajar

Minah sekut

Rabak