Usahalah betul-betul

Umum tahu mama aku baru je meninggal. Sebagai seorang ibu, walau siapapun dia, apa jua latar belakangnya, semua ibu bertarung nyawa melahirkan seorang manusia. Tapi sekarang ni, walaupun para ibu dahulu cuba melahirkan manusia, rupanya perangai langsung tak nampak macam manusia.

Seperti ibu-ibu yang lain, arwah mama pun mengharapkan aku berjaya dalam hidup. Sayangnya mama telah dijemput pulang lebih awal tanpa sempat melihat aku menjejakkan kaki ke universiti. Begitu banyak harapan yang mama sandarkan pada aku. Salah satu harapan terakhirnya untuk aku ialah, mahu tengok aku belajar jauh-jauh. Jauh dari dia. Supaya komitmen aku untuk belajar lebih kuat. Tak perlu risaukan dia. Aku hampir saja keraskan hati untuk ke politeknik hari tu. Cuma ada halangan dari pihak tertentu so aku just stay form 6 sekarang ni.

Tujuan post kali ni bukan nak tulis biografi pasal keluarga aku. Tapi lebih kepada nasihat kepada adik-adik tak kira sedang belajar di sekolah rendah atau sekolah menengah. Perhatian lebih aku beri kepada student Form 4 dan Form 5. Tolong faham baik-baik apa yang aku nak beritahu. Jangan sekali-kalli perlekehkan post aku kali ni walaupun post ni agak membosankan. Aku tak mahu korang salah pilih lepas tu belajar sekerat jalan saja.

Segalanya bermula apabila sepupu aku yang sekarang sedang duduk di Form 5, tengah struggle untuk SPM. Aku dah nasihatkan dia, tolong study. Belum terlambat untuk ubah cara belajar. Jangan termakan dengan kata-kata cikgu yang sekarang masa dah terlalu lewat untuk study semua. Sempat lagi kalau nak berjaya. Cuma kena usaha lebih dari biasa. Kesilapan aku dulu, aku main-main. Aku tak serius. Aku ambil mudah 11 subjek yang aku ambil masa SPM. Target nak 5A. Tapi study macam hampeh. Sudahnya dapat 2A je. Lagi sakit tengok ada G. Masa dapat result, aku belum menyesal lagi. Lepas diri dah ketinggalan jauh di belakang rakan lain, baru aku sedar sesuatu. Aku tak hargai masa dulu. Ketika masih ada peluang study, aku tak ambil serius. Rakan lain semua kat Matrik, Politeknik, Universiti dan Pra Universiti. 2 orang dah ke Indonesia ambil bidang masing-masing. Aku? Terperosok terpinga-pinga cuba cover subjek Form 6.

Korang yang Form 5, please take SPM seriously. Cuba skor sebaik mungkin. Berusaha betul-betul. Jangan sambil lewa. Tingkatan 6 BUKAN  untuk orang yang lembik dan tak kuat semangat. Tingkatan 6 adalah untuk orang yang betul-betul kuat, semangat juang yang tinggi, sentiasa berusaha untuk cover the topic. Pengajian Tingkatan 6 tak semudah yang disangka. Jangan fikir alah mentang-mentangla Form 6 ni masih standard budak sekolah, senang sangat. Form 6, azamnya tak lain tak bukan, dapatkan 4 Prinsipal masuk Universiti, ambik ijazah. Tak ada seorang pun yang masuk Form 6 sekadar nak isi masa lapang. No! Pengajian Form 6 ni, ada 2 aliran. Aliran Sains dan Kemanusiaan. Kedua-duanya tak semudah yang disangka. Sains memang terkenal dengan standard susah. Tak dinafikan. Student yang ambil aliran Sains dalam 20 orang je kalau kat sekolah aku. Yang banyak ialah Kemanusiaan. Pun bukan senang. Subjek elektif yang ditawarkan dalam Kemanusiaan ni banyak. Tapi yang valid di sekolah aku ialah Geografi dan Seni. Aku ambik Geografi. Sedar yang diri ni tak reti langsung nak melukis. Menulis nampak macam berseni. But when it comes to draw, lebih baik aku lari marathon je daripada disuruh melukis.

Tahu tak, bila aku sedar subjek yang aku ambik ni buat aku pening kepala. Tak sangka Geografi boleh jadi sebegini complicated apabila perlu terangkan fenomena alam dengan lengkap berserta dengan nama sekali. Krater, kaldera, magma, igneus, metamorfosis, plat-plat tektonik dan ntah apa-apa lagi yang buat rambut aku lebih serabut dari biasa. Setakat ukur lajur baris, tu semua standard budak tadika. Bahasa Melayu, yang selalu aku boleh skor A senang-senang je, boleh buat aku rasa nak hantuk kepala ke dinding. BM form 6 mana ada sentuh puisi, cerpen, novel atau apa-apa yang berkaitan sastera. Korang rasa sastera ni susah. Tapi bagi aku benda ni senang. Senang sangat. Sebab bila korang jumpa BM form 6, korang akan menyesal separuh nyawa. Tak pasal-pasal kena belajar Biologi. Identify mana lelangit keras, lelangit lembut, peti suara. Bila sebut sesuatu abjad, adakah ada terasa apa-apa? Sengauan? Geseran? Dan ntah apa-apa lagi. Terus terang, BM adalah cabaran terbesar aku sekarang ni.

Jumpa subjek Ekonomi pun aku rasa aku perlu betulkan jiwa sesempurna mungkin. Kalau yang memang dah ada basic Ekonomi masa SPM, ok lah. Yang tak ada basic ni? Ternganga. Tak nak cerita pasal subjek Ekonomi. Sebut pasal basic, biar aku tujukan kepada student Form 4.

Lepas PMR/PT3, rasa lega and start honeymoon kan? Memang. Tapi bila masuk Form 4, tolong hentikan honeymoon serta-merta. Kalau nak honeymoon, masa kecik-kecik masih baby dululah dah honeymoon puas-puas. Sekarang mana ada masa nak honeymoon waima honeymoon lepas kawen sekalipun. Form 4 adalah waktu di mana segala bentuk basic didedahkan sebanyak yang mungkin terutamanya subjek pure science. Masa Form 4, aku ingat Kimia tu senang. Nampak macam tak ada apa-apa. So sambil lewa jelah. Malas-malasan. Masuk Form 5, banyak bazir masa cuba cover balik basic Kimia masa Form 4. Segala empirical formula, number of mol dan perkara yang sewaktu dengannya aku tak mampu nak cover dengan betul dek kerana ada topik baru masuk lagi. Semuanya sebab masa cuti hujung tahun yang panjang tu, aku sambung honeymoon. Masuk Form 5, menyusahkan cikgu, terpaksa ajar semula. Berulang-ulang kali. Kimia masa SPM memang lulus. Tapi tak kredit. E je yang aku dapat. Yang buat aku lulus tu pun rasanya kerja kursus. Kerja kursus copy and paste memang la lulus.

So yang Form 4 tu, please bear in mind. Masa cuti panjang hujung tahun, jangan fikir nak melancong ke sana sini je. Tolong ingatkan jiwa supaya belajar basic betul-betul. Sebab masa Form 5, tak ada masa nak cover basic lagi dah. Cikgu dah ajar benda yang lebih complicated dan perlu apply basic tu. Kalau basic dah hancur, konfem yang complicated pun tak menjadi. Buatla holiday management. Mana yang ada duit lebih, beli buku rujukan. Kalau yang standard kaya-kaya tu, pergi ambil kelas tambahan. Bazir duit untuk perkara yang berfaedah tak apa. Mak ayah tak kisah pun. Janji anak jadi manusia. Jangan sibuk nak outing tiap hari dengan rakan-rakan. Wechat, Whatsapp sampai tak tidur malam. Enjoy tu boleh, tapi berpada-pada.

Jangan menyesal kemudian hari. Aku ni kira masih beruntung sebab dapat ke Tingkatan 6. Kalau ikut sistem zaman dulu, zaman mak ayah, result cukup makan ni mana layak ke Tingkatan 6. Cikgu aku pun cakap macam tu. Standard pelajar yang masuk Form 6 zaman sekarang ni sangat rendah. Sebab kerajaan nak semua pelajar dapat pendidikan. Tak ada istilah tak dapat sambung belajar sebab kriteria untuk sambung belajar tak cukup.

Seriyes aku nasihatkan ni, kejarlah Matrik atau Universiti. Lagi baik kalau dapat peluang sambung ke luar negara. Politeknik pun masih lagi low standard. Orang tak pandang sangat Poli ni sebenarnya. Kalau dapat biasiswa, terimalah. Peluang tak datang selalu. Form 6, kalau boleh janganlah ambik unless korang memang betul betul berhati waja, sanggup terima risiko dan bukan seorang yang mudah mengaku kalah. Dalam Form 6 ni, pengajian memang singkat. Boleh jimat 3 tahun diploma. Kelebihan memang banyak. Tapi kena fikir betul-betul, sanggup atau tidak. Jangan nanti masuk Sem 2, dapat result yang tak cukup baik, berhenti. 1 Sem je lagi tapi tak nak cuba. Senior aku ramai macam tu. Dah tahu kesudahannya. Tak mampu punya. Setiap pointer akan dibawa dari Semester 1 hingga ke Semester 3. Kalau pointer tinggi, alhamdulillah. Harapan cerah sebab kaki dah konfem di Universiti. Kalau cukup-cukup makan? Sakit sendiri tanggung.

Fikir betul-betul. Masa yang ada selepas habis SPM, gunakan untuk fikir jalan hidup korang nanti. Masa SPM, make sure buat betul-betul. Usaha betul-betul. Percaya pada diri sendiri. Dapatkan keredhaan mak ayah. Ilmu dari cikgu mintak mereka halalkan. Yang penting, Tuhan. Doa pada Dia. Mudahan diberkati hidup kita. Insya-Allah, aku yakin korang akan berjaya.

Aku betul-betul harap korang boleh ambik iktibar dari kisah hidup aku. Jadikan inspirasi untuk tak nak toleh belakang lagi. Dapatkan kejayaan. Itu harapan mak ayah sejak dari hari kita lahir ke dunia. Mak ayah dah awal-awal lagi dah rancang macam-macam supaya anak hidup sempurna. So anak pun kena rancang dari awal jugak. Senyuman kebanggaan mak ayah, bukan sesuatu yang mudah untuk kita tengok macam tu aje. Ada waktu dan ketika. Kalau setakat anak menang jadi juara Ceria Popstar, tu sebab mak ayah lega tak sia-sia aku hantar budak ni pergi audition dulu. Bukan sebab dia bangga.

Sekian, terima kasih


Comments

Popular posts from this blog

Minah sekut

Majlis Perwakilan Pelajar

Rabak