Benda dah lalu

Hancur berderai. Cuma itu yang mampu aku sebut sekarang. Geografi yang aku harap-harap dapat gred baik, itulah yang paling menghampakan aku. Terbayang wajah cikgu Lily. Sangat sedih. Bingung aku fikir, apa yang aku jawab masa tu? Rasanya aku langsung tak tinggalkan walau satupun ruangan kosong. 0.00. Sakit betul hati aku. Nasib baik Pengajian Am dan Bahasa Melayu dapat B dan B+.

Aku tahu bapak kecewa. Tapi, sebab dia nampak mata kembang aku, dia tahan dan bagi dorongan. Itulah bapak. Tak marah, walaupun kecewa. Tak melenting, walaupun dilukai. Tetap dengan kata-kata semangat dia. Rasanya kalau mama masih ada, memang dah kena berdas-das. Memang tak patut aku cakap macam ni, tapi terpaksa sebut jugak kat sini. Syukur dia dah takda. Kalau masih ada, memang hati dia hancur. Tak pernah-pernah sebelum ni aku gagal, aku dapat 0 aje. Memang ni kali pertama.

Kekecewaan bapak, nampak sangat. Cepat je dia rawat hati. Awalnya, dia tanya, "susah sangatkah Geografi?". Aku cakap, "memang tak hairan. Semester 1 memang selalu macam ni." Lepas tu dia tak cakap apa dah. Aku terus luahkan hasrat untuk repeat 2 subjek, bapak restu. Katanya, lebih baik repeat. Mungkin rezeki ada masa repeat paper nanti. So, aku pun okey.

Konfiden level aku yang jatuh lepas tengok result sendiri terus meningkat. Sebabnya aku jumpa classmate yang dapat result lagi teruk dari aku. Memang kejam bunyinya, tapi itu realiti yang sebenarnya. Buat apa menangis? Sebab sekurang-kurangnya, Ekonomi yang aku selalu gagal setiap kali peperiksaan tetiba lulus. Cuma itulah, geografi memang buat aku sedih. Sedangkan bapak sendiri pun tak meraung tengok keputusan aku, buat apa aku nak menangis, nak mogok dengan diri sendiri?

Nampaknya, kena kerja lebih mulai sekarang ni. Nak kumpul RM100. Bayar kertas ulangan. Nak ulang balik masa dulu memang tak mampu. Yang dapat sekarang cuma baiki apa yang termampu. Syukur ada sistem semester ni. Memang berisiko tapi, apa nak buat. Benda dah jadi.

Aku tak sangka bapak aku boleh bagi jawapan paling lejen dan epic lepas dia tengok keputusan Geografi aku.

"Mungkin penyemak kertas korang ni terjejas banjir. Sebab tu markah dia bagi semberono aje..."

Duhai bapak, memang takleh blah betul jawapan bapak ni...

Comments

Popular posts from this blog

Minah sekut

Majlis Perwakilan Pelajar

Rabak