7 April

Sekadar berkongsi. Hari ini genap 10 tahun sejak kejadian itu. Yang mengajar aku erti mahu membalas budi setiap yang membantu.

7 April 2005. Hari Khamis. Selesai bunyi loceng menandakan tamatnya persekolahan pada hari itu, aku bergegas mahu cepat-cepat keluar dari perkarangan sekolah. Sebelum itu, aku baru selesai berlatih untuk pertandingan bercerita peringkat sekolah. Sedang elok berlari, aku hilang imbangan dan jatuh. Ku kira jatuh yang biasa-biasa saja. Namun bila cuba berdiri seperti biasa, aku gagal. Terpaksa menumpang bahu seorang rakan sambil diri cuba berjalan dengan sebelah kaki. Aku pulang ke rumah dengan bas. Dengan payahnya diri hendak mendaki tangga. Aku dihantar pulang ke rumah dan diangkat oleh abang driver bas dan pembantunya. Arwah mak ketika itu sedang sibuk membuat kuih untuk jualan pada esoknya, Jumaat.

Dengan penuh tanda tanya dan kehairanan, mak bertanya apa yang berlaku. Aku hanya menjawab, tidak tahu. Lalu, cepat-cepat dia mencapai telefon, nak beritahu bapa mengenai perkara yang terjadi. Namun, gagal kerana henfon semua takda kredit. Ingat aku, gigihnya mak berlari ke rumah nenek semata-mata nak pinjam henfon. Nak beritahu bapak. Mungkin jauh di sudut hatinya, dia sudah mendapat tahu apa yang terjadi pada aku. Sejak dari itu, arwah mak tidak pernah membenarkan henfon dibiar takda kredit. Untuk kecemasan.

Bapak yang ketika itu sedang berniaga di kawasan kilang, cepat-cepat berkemas dan pulang. Aku dibawa ke hospital, dalam keadaan diri masih lengkap beruniform sekolah. Aku dibawa ke unit kecemasan. Dan akhirnya selepas xray dijalankan, tulang kaki kiri tersasar dari soketnya. Mula dari hari itu, aku tidak turun ke sekolah sebulan. Terlantar di ruang tamu. Menantikan kesembuhan kaki yang patah. Setiap hari mereka berdua berusaha menantikan kesembuhan aku. Menjaga setiap makan minumku, melengkapi segala kehendak, berjaga malam kerana kadang-kala aku meraung kesakitan dek bisanya sakit.

Tiba suatu hari, temujanji aku ke hospital. Besarnya harapanku agar aku boleh berjalan semula. Rupanya, kaki masih belum sembuh sepenuhnya. Betapa kecewanya hati seorang mak. Lalu aku dipaksa untuk berjalan sendiri. Simen kaki digergaji dan dibuang. Tongkat kayu yang dibuat oleh nenek dihancurkan. Ketika itu aku merasa, kejamnya mak. Sanggup dia menghancurkan segalanya. Namun, jika tak kerana paksaan itu, mungkin aku cacat sekarang. Berhari-hari aku cuba berjalan. Dengan tangan masih menyentuh dinding, untuk memastikan diri stabil. Aku juga dibawa berurut 3 hari 3 malam di sebuah kawasan rumah panjang. Berkat kesungguhan diri, doa dan harapan ibu bapa, aku berjaya berjalan seperti biasa, namun apabila sebulan terlantar dengan keadaan kaki senget dan masih bersimen menjadikan aku tidak boleh duduk lama dalam keadaan bersimpuh dan bersila.

Sekarang, 10 tahun sudah berlalu. Tapi aku tak pernah lupa. Bagaimana baiknya seorang rakan yang sanggup memeluk lengan aku dan membantu aku berjalan. Bagaimana sanggupnya abang driver bas dan pembantunya mengangkat aku naik ke rumah. Bagaimana gigihnya seorang mak yang berlari mendapatkan pertolongan. Bagaimana pantasnya seorang bapa bergegas pulang setelah mendengar khabar. Dan paling penting, pengorbanan kedua ibu dan bapa untuk melihat aku kembali sembuh seperti sedia kala. Jika tiada orang-orang ini di sisi, mungkin aku mati ataupun telah cacat seumur hidup.

Syukur padaMu Tuhan. Masih beri aku peluang untuk menggunakan anugerahMu. Menyedarkan aku erti kasih sayang sesama insan. Erti persahabatan ketika susah dan senang. Erti ketabahan hati untuk mendepani cabaran.

Alhamdulillah, syukur atas segala kurniaMu.

p/s : Kejadian ini berlaku ketika usiaku masih 9 tahun. Sekarang, kenangan 10 tahun yang lepas menjadikan aku yang kini berusia 19 tahun

Comments

Popular posts from this blog

Majlis Perwakilan Pelajar

Minah sekut

Rabak