I still cry

Dah nak masuk 2 tahun. Tapi, dalam fikiran, dia masih menghuni. Dan dia adalah satu-satunya yang akan aku izinkan selamanya tinggal dalam hati. Mohon jangan pergi. Biar jasad tak lagi terlihat, asalkan dalam hatiku tetap ada kamu. 

Hampir 2 tahun, macam-macam hal berlaku setelah ketiadaannya. Aku seperti biasa, masih lagi menangisi kehilangannya. Hadirnya seseorang cukup mengingatkan aku pada dia. Aku sudah lama tak rasa masakan seorang ibu. Hadir beliau, cukup buat aku rindukan pada insan tersayang yang telah pergi. Pada kasih dan budi beliau, aku kadang-kala hampir menangis depan semua orang. 

Hampir 2 tahun itu juga, aku rasa kosong dalam hidup. Saat aku melihat ibu-ibu yang sudah menginjak usia tua, mereka masih lagi teguh bersama anak-anak. Sedangkan aku, kosong sendirian berusaha mencari erti hidup dalam diri. Sering tertanya-tanya, kalau mak masih ada, apa yang akan dia katakan pada aku ketika aku menginjak usia ini? Adakah larangannya masih sama seperti ketika aku masih usia belasan? Akankah ada suatu perkara baru yang bakal didedahkan pada aku? Aku mahu tahu. 

Bertemu sebuah keluarga, yang juga merupakan kenalan kami, sedikit sebanyak mewarnai hidup aku. Aku selesa berkawan dengan anak-anak mereka. Aku tertumpah kasih pada mama mereka, yang sering menyediakan bekal untuk makan tengah hari tanpa meminta bayaran pun. Paling mengharukan, masakan yang disediakan seolah sama dengan apa yang pernah mak sediakan dahulu untuk aku. Bagaimana mungkin aku tidak sebak mengenang yang telah lalu?

Diakui, hidup aku sedikit hambar sebelum ini. Manusia datang dan pergi, namun kehadiran dua beradik ini cukup menghiburkan. Keluarga ini sudah cukup buat aku menjumpai sebahagian kenangan yang pernah aku rasa dahulu. 

Mohon dipertemukan aku dengan mak suatu masa nanti. Agar terluah beratnya rindu dalam dada. Agar terubatnya luka di hati sepanjang pemergiannya. Agar dapat ku peluk dia semula. Agar hati ini tak lagi merasai sakit setelah perginya. Kerana rindu padanya tak akan pernah tamat. Pada dia, dan hanya dia. 

Comments

Popular posts from this blog

Minah sekut

Majlis Perwakilan Pelajar

Rabak